Siaran Akhbar dan Infografik : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 7 April. - Setiap tahun pada 7 April, seluruh dunia termasuk Negara Brunei Darussalam (NBD) akan menyambut Hari Kesihatan Sedunia atau World Health Day bagi memperkukuh kesedaran dan komitmen terhadap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
Pada tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memilih tema 'Bersama Untuk Kesihatan. Teguh Bersama Sains' (Together for Health. Stand with Science), yang menyeru semua pihak termasuk kerajaan, saintis, agensi berkepentingan dan seluruh masyarakat untuk memilih bukti, mempercayai fakta, dan menyokong tindakan berasaskan sains demi kesihatan manusia, haiwan, dan alam sekitar kita.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2026.
Jelas Yang Berhormat lagi, tema berkenaan amat selaras dengan hala tuju yang telah diambil oleh NBD dalam memelihara kesihatan rakyat dan penduduknya. Kementerian Kesihatan percaya bahawa cabaran kesihatan pada zaman ini termasuk kemunculan penyakit berjangkit yang baharu, rintangan antimikrob, perubahan iklim dan kerosakan alam sekitar adalah tidak dapat ditangani oleh mana-mana sektor secara bersendirian.
Ancaman-ancaman berkenaan kata Yang Berhormat merentasi sempadan antara kesihatan manusia, kesihatan haiwan, dan ekosistem kita. Semua berkenaan memerlukan satu respons yang bersepadu, berteraskan sains, dan bersifat kolaboratif.
"Inilah asas kepada pendekatan One Health-satu rangka kerja yang bersepadu yang mengiktiraf bahawa hubungan di antara kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan dan ekosistem adalah tidak dapat dipisahkan.
"One Health bukan sekadar satu konsep, ia adalah komitmen untuk bekerja merentasi kementerian, disiplin, dan sempadan bagi membina sebuah negara yang lebih sihat dan lebih berdaya tahan.
"NBD telah mengambil langkah-langkah yang konkrit dalam memajukan agenda One Health di peringkat nasional. Pada April 2025, Kementerian Kesihatan telah berjaya menganjurkan bengkel National Bridging Workshop dengan sokongan daripada organisasi-organisasi Quadripartite, iaitu WHO, Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan (WOAH), Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO), serta Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP)," kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat selanjutnya mengongsikan bahawa bengkel berkenaan telah mengumpulkan lebih daripada 60 pakar dan pegawai daripada sektor kesihatan manusia, haiwan, dan alam sekitar di NBD. Bengkel yang diadakan selama tiga hari berkenaan telah mengumpulkan para peserta untuk bekerjasama dan seterusnya mengenal pasti kekuatan dan jurang yang sedia ada dalam komunikasi, perancangan, dan tindak balas kecemasan merentas sektor.
Melalui senario seperti wabak penyakit zoonotik dan ancaman alam sekitar jelas Yang Berhormat lagi, para peserta mendapat gambaran yang lebih jelas tentang bagaimana sektor-sektor berinteraksi dan kerjasama boleh dipertingkatkan. Bengkel berkenaan berakhir dengan pembangunan secara bersama sebuah pelan hala tuju atau 'roadmap' yang jelas dan boleh dilaksanakan dengan tanggungjawab yang ditetapkan oleh pelbagai sektor dan akan membimbing pelaksanaan bersepadu aktiviti-aktiviti One Health di NBD.
"Kementerian Kesihatan dengan kerjasama WHO, FAO, dan WOAH juga baru-baru ini telah menganjurkan bengkel One Health Zoonotic Disease Prioritisation Workshop pada Februari 2026.
"Bengkel ini telah dihadiri oleh wakil-wakil daripada sektor kesihatan manusia, kesihatan haiwan dan alam sekitar bagi mengenal pasti penyakit-penyakit zoonotik yang paling membimbangkan di NBD.
"Melalui satu proses yang berstruktur dan berasaskan bukti, para peserta telah menilai penyakit-penyakit berdasarkan potensi kesannya terhadap kesihatan awam, kesihatan haiwan, dan alam sekitar.
"Hasil bengkel ini akan memaklumkan strategi-strategi pengawasan, persediaan, dan tindak balas yang lebih disasarkan, bagi memastikan sumber-sumber yang terhad digunakan di tempat yang paling diperlukan dan semua sektor selaras dalam menentukan keutamaan masing-masing," kata Yang Berhormat lagi.
Dalam perutusan berkenaan juga, Yang Berhormat menjelaskan tema Hari Kesihatan Sedunia 2026 mengingatkan kita bahawa kemajuan dalam kesihatan awam dibina atas asas bukti saintifik dan kerjasama pelbagai sektor. Vaksin, sistem pengawasan penyakit, alat pengesanan awal dan dasar kesihatan awam semuanya adalah hasil sains dan kerjasama.
Apabila kita berpegang kepada sains tambah Yang Berhormat lagi, kita memilih untuk melindungi dan menyelamatkan nyawa. Oleh itu, Kementerian Kesihatan menyeru agar semua pihak untuk sentiasa mempercayai maklumat yang berasaskan sains dan menolak penyebaran maklumat yang salah, terutama sekali dalam era perkongsian maklumat digital yang pantas ini.
"Kesihatan bukan sahaja tanggungjawab kerajaan dan petugas kesihatan, ia adalah tanggungjawab bersama dan kita semua memainkan peranan yang penting untuk menjaga kesihatan masing-masing. Kementerian Kesihatan menyeru agar setiap rakyat dan penduduk NBD untuk mempercayai dan bertindak berdasarkan bukti saintifik bagi melindungi kesihatan diri sendiri dan orang-orang yang tersayang.
"Masyarakat juga digalakkan untuk menyokong program vaksinasi, langkah-langkah kesihatan awam, dan penggunaan ubat-ubatan yang bertanggungjawab, terutamanya antimikrob atau 'antibiotics' demi memelihara keberkesanannya untuk generasi akan datang.
"Tema 'Bersama Untuk Kesihatan. Teguh Bersama Sains' adalah inti pati daripada usaha berterusan kita untuk memastikan setiap rakyat dan penduduk di NBD menikmati kehidupan yang sihat, selamat dan sejahtera. Dengan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, masyarakat, profesional kesihatan dan dengan sokongan rakan-rakan antarabangsa dari WHO, WOAH, FAO, UNEP, insyaaAllah, kita akan dapat membina sebuah masyarakat yang mempunyai masa depan yang lebih sihat, lebih berdaya tahan, dan lebih cerah untuk generasi akan datang," ujar Yang Berhormat lagi mengakhiri perutusannya.